fb fb fb fb fb

UiTM disaran angkat agenda keusahawanan bumiputera

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Program Outreach PuTERA35@Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di Dewan Berlian, UiTM Kampus Puncak Alam/BERNAMA

PUNCAK ALAM, 12 Oktober - Universiti Teknologi MARA (UiTM) disaran mengangkat agenda keusahawanan bumiputera dengan muncul sebagai Universiti Usahawan TVET Global bagi memperkukuh peranan institusi tersebut.

Ini sejajar Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dalam melahirkan usahawan berdaya saing peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha tersebut bukan sahaja mampu melahirkan individu berkemahiran keusahawanan, malah membentuk individu agar berani membuka perniagaan sendiri serta mencipta peluang baharu.

"Agenda keusahawanan bumiputera terus kita gerakkan melalui TERAJU, MARA, melalui beberapa kementerian dan jabatan yang lain. Kita mengerakkannya bagi meningkatkan kapasiti dan daya saing usahawan.

"Contohnya, TVET MARA, baru-baru ini seramai 442 pelatih teknousahawan telah dilahirkan dan berjaya menjana jualan terkumpul mencecah 120 juta ringgit. Malah GIATMARA sahaja, sudah lahir sekurang-kurangnya 50 usahawan jutawan. Apabila kita gabungkan antara dua kursus perniagaan insya-Allah ia mampu mengubah seluruh landskap potensi kerjaya negara."

Beliau berkata demikian selepas hadir pada program Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), di Universiti Teknologi MARA kampus Puncak Alam, Selangor.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata saranan tersebut juga berpandukan dapatan Kajian Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO); yang menyatakan TVET tidak seharusnya hanya melatih pelajar mencari pekerjaan, sebaliknya perlu melahirkan usahawan tempatan berdaya saing.

UiTM memiliki potensi besar untuk menjadi pusat usahawan TVET di rantau ini dengan sokongan PuTERA35 melalui pembiayaan, inkubasi serta kerjasama industri yang strategik.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ