fb fb fb fb fb

Tiga penerima Biasiswa Orang Muda Johor ke universiti terkemuka dunia

Muhammad Fauzi Syahmi Mohd Zain, M. Laxmann dan Lee Chong Ming bergambar bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi / Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 13 Ogos – Tiga penerima Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ) 2023 berjaya melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia.

Mereka ialah Muhammad Fauzi Syahmi Mohd Zain, M. Laxmann dan Lee Chong Ming.

Muhammad Fauzi Syahmi berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Bahan di Columbia University, Amerika Syarikat.

Manakala Laxmann dan Chong Ming diterima masuk ke Imperial College London, masing-masing dalam bidang Bioteknologi serta Kejuruteraan Kimia.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan seluruh Bangsa Johor, malah membuktikan anak Johor mampu bersaing dengan pelajar terbaik dunia.

"Syukur Alhamdulillah saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada tiga pelajar sulung daripada kohort BOMJ 2023 yang kini berjaya menempatkan diri di universiti terkemuka dunia.

Insya-Allah, mereka akan kembali membawa pulang bukan sahaja ilmu, tetapi pengalaman dan jaringan global, demi memacu kemajuan Johor di masa hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Datuk Onn turut menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menekankan kepentingan pendidikan berkualiti sebagai asas membina masa depan cemerlang untuk anak-anak Bangsa Johor.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN