KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kadar keuntungan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh Regulatory Period 4 (RP4) kekal 7.3 peratus, sama seperti sejak RP2 pada 2018.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata, jika TNB mencatatkan keuntungan melebihi kadar itu, lebihan akan dipulangkan kepada pengguna melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
“Jumlah keuntungan ini berpatutan dengan pelaburan yang perlu dibuat TNB bagi menaik taraf dan mengukuhkan grid nasional, menyokong aspirasi ASEAN Power Grid (APG), pembinaan dan penyelenggaraan loji janakuasa, pemasangan meter pintar, digitalisasi sistem tenaga, serta menampung peningkatan kemasukan sumber tenaga boleh baharu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, berhubung kadar keuntungan TNB dan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung.
Menurut Akmal lagi, kementerian bersama Suruhanjaya Tenaga telah menstruktur semula jadual tarif elektrik di Semenanjung bagi menangani ketidakpadanan struktur kos pembekalan sedia ada.
Struktur tarif baharu itu meliputi 9 peratus kos tetap (infrastruktur) dan 91 peratus kos tenaga.