fb fb fb fb fb

Kes Zara Qairina: Pengetua, Penolong Kanan HEM, warden ditempatkan sementara di JPN Sabah

Pentadbir dan warden SMKA Tun Datu Mustapha dipindahkan sementara susulan siasatan polis berhubung kes Zara Qairina.

PUTRAJAYA, 13 Ogos - Kementerian Pendidikan (KPM) akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.

Keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarhamah Zara Qairina.

KPM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, teliti dan tuntas.

"Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini. KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat," kata kenyataan itu.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN