fb fb fb fb fb

AKPS sita 5,000 kilogram produk makanan kering tidak patuhi peraturan pelabelan

Produk makanan kering ‘Dried Longan Pulp’ yang tidak mematuhi peraturan pelabelan makanan dirampas di pintu masuk negara.

BUKIT KAYU HITAM, 13 Ogos - Sebanyak 5,000 kilogram produk makanan kering “Dried Longan Pulp” jenama Nine Star Dragon disita di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan sitaan itu selepas pemeriksaan mendapati produk tersebut tidak mematuhi peraturan pelabelan makanan di bawah Akta Makanan 1983.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir dalam satu kenyataan berkata, produk berkenaan dibawa masuk menggunakan lori melalui laluan dagang bersama barangan makanan lain.

Beliau berkata, nilai sitaan dianggarkan RM82,500 berdasarkan invois pembekal.

Menurutnya, tiada individu ditahan dalam operasi berkenaan.

Katanya, agen berkaitan memilih untuk melaksanakan tindakan re-eksport ke negara asal mengikut prosedur ditetapkan.

Mohd Nasaruddin juga berkata, sitaan itu hasil Operasi Pemeriksaan Konsainan 100 peratus yang dilaksanakan secara berterusan oleh AKPS bersama agensi penguatkuasaan di pintu masuk negara.

Langkah itu bagi memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang terhadap semua barangan dagangan yang dibawa masuk ke negara ini.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN