fb fb fb fb fb

Tiga muka baharu dilantik exco Melaka, dua digugurkan

AYER KEROH, 5 April- Tiga muka baru dilantik dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia barisan exco berkenaan berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat, Seri Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan dilantik sebagai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital.

ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer pula, dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan.

Manakala ADUN Kesidang, Seah Shoo Chin dilantik sebagai Exco Pembangunan Usahawanm Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

(ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan; ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer
dan ADUN Kesidang, Seah Shoo Chin dilantik exco baharu kerajaan negeri Melaka)

Turut mengangkat sumpah pada istiadat berkenaan, ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin sebagai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana.

Diikuti ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya.

Selain itu, ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin, masing-masing dilantik sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.

Turut dilantik, ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman dan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem juga dilantik kembali sebagai exco kerajaan negeri sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan.

ADUN Gadek, VP Shanmugam mengekalkan jawatan sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sekaligus melengkapkan senarai exco Melaka.

Sementara itu, dua ADUN yang digugurkan ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini memegang portfolio Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan serta ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan yang menjawat jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar.

Media Baharu