fb fb fb fb fb

Pewartaan Tanah Kesultanan lindungi orang asli Johor

JOHOR BAHRU, 5 April- Pewartaan Tanah Kesultanan bagi penempatan dan rizab orang asli di Johor bukan bermaksud tanah tersebut menjadi milik peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sebaliknya, bagi melindungi dan menjaga hak mereka supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan atau menyalahguna tanah rizab tersebut.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, orang asli di negeri itu dilindungi beberapa undang-undang bagi menjaga hak mereka.

Ia termasuk Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), Enakmen Tanah Kesultanan 1934, Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Kaedah-kaedah Tanah Johor 1966.

“Orang asli Johor boleh menggunakan dan menikmati hasil hutan seperti yang termaktub dalam Akta Orang Asli 1954.

Sejarah telah membuktikan bahawa semenjak pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar lagi dan sebelum wujudnya Akta Orang Asli 1954, kedudukan dan penempatan orang asli di negeri Johor telah dijaga dan dibela oleh Kesultanan Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

(Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor / Foto Pejabat Menteri Besar)

Jelas Datuk Onn Hafiz, kerajaan Johor menerima pelbagai aduan mengenai ekploitasi terhadap orang asli oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi.

Antara aduan diterima ialah penerokaan secara tidak sah tanah-tanah rizab orang asli yang dibangunkan untuk tujuan komersial.

Mereka juga digunakan sebagai jurupandu untuk memburu hidupan liar yang dilindungi bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

Media Baharu