fb fb fb fb fb

Tiga MoU perniagaan dimeterai , kerjasama R&D vaksin Malaysia-Thailand

BANGKOK, 25 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Perniagaan pada lawatan rasminya ke Thailand.

Ia berhubung kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin oleh kedua-dua negara.

MoU termasuk antara Pharmaniaga Research Center Sdn Bhd dan Bio-Innova Co Ltd; Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd dan BioNet-Asia; serta Perjanjian lesen pembuatan di antara COVID Medicare support Inc dan Acquest Healthcare Stem Cell Research & Development Co. Ltd.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Ismail kemudian hadir pada sesi Minum Petang yang dihoskan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC).

Pada majlis tersebut, ahli-ahli MTCC berkesempatan berinteraksi bersama-sama Perdana Menteri tentang isu-isu perniagaan di Thailand.

Bagi tempoh Januari 2022, perdagangan dua hala di antara Malaysia-Thailand mencatatkan peningkatan yang positif kepada RM9.32 bilion, iaitu kenaikan sebanyak 20.4 peratus berbanding RM7.73 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Ia menjadikan Thailand kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia, pada masa sama Malaysia juga kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand.

Malaysia-Thailand juga mempunyai banyak pelaburan di dalam negara masing-masing.

Sepanjang tempoh 2017 hingga 2021, pelaburan Malaysia di Thailand adalah sebanyak RM4.94 bilion dengan lebih 1,000 syarikat Malaysia yang beroperasi di Thailand.

Syarikat-syarikat ini terlibat dengan pelaburan dalam pelbagai bidang, termasuk pembuatan, perbankan, penerbangan dan pelbagai sektor perkhidmatan yang lain.

Antara pelabur utama daripada Malaysia di Thailand, CIMB, AirAsia, PETRONAS, RHB Bank dan AAPICO Hitech PLC & Subsidiaries.

Manakala pelaburan Thailand di Malaysia sepanjang lima tahun lepas berjumlah RM2.19 bilion dan antara pelabur utama seperti Charoen Pokphand (CP) Malaysia, Kemaman Oil Corporation Sdn.Bhd, Emery Oleochemicals, Bintulu Fertilizer dan DSG (M) Sdn.Bhd.

Media Baharu