BANGKOK, 25 Februari- Sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand, beliau diberi sambutan rasmi oleh rakan sejawatnya di Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha, dalam satu upacara di Rumah Kerajaan.
Pertemuan sulung kedua-dua pemimpin tertinggi itu bagi memperkukuhkan hubungan diplomatik Malaysia-Thailand yang memasuki tahun ke-65.
Ismail Sabri diberi penghormatan membuat pemeriksaan "Guard of Honour" sambil diiringi Perdana Menteri Thailand.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri diiringi Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha di Rumah Kerajaan, Bangkok)
Lawatan rasmi tiga hari ke Thailand ini merupakan sebahagian daripada lawatan pengenalan Perdana Menteri ke negara-negara Asia Tenggara sejak dilantik pada Ogos 2021.
Lebih signifikan, tiada sebarang lawatan peringkat tertinggi ke Thailand sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini, disebabkan penularan COVID-19.
Pertemuan disusuli "Mesyuarat Terhad" antara kedua-dua pemimpin yang berlangsung selama sejam, sebelum sidang media bersama diadakan, bagi mengumumkan beberapa ketetapan yang dicapai.
Ini termasuk perincian rancangan pembukaan sempadan Malaysia-Thailand, kegiatan ekonomi dan pergerakan rakyat kedua-dua negara selain perkembangan projek-projek infrastruktur di sempadan.
Kuala Lumpur-Bangkok mempunyai hubungan dua hala yang sangat akrab, serta jalinan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama terutama politik, keselamatan dan pertahanan, ekonomi dan perdagangan serta bidang sosial.
Laporan wartawan, Ivan Toh.