fb fb fb fb fb

Tiga mayat nelayan tragedi bot karam di Pulau Redang ditemukan

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos- Tiga daripada lima mangsa lemas tragedi bot karam di perairan Pulau Redang berjaya ditemukan antara pukul 11 pagi hingga 1.30 tengahari tadi di lokasi berbeza sekitar 1.7 batu nautika dari pulau tersebut.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata ketiga-tiga mayat mangsa ditemukan nelayan setempat.

Mangsa dikenali sebagai Saludin Ismail, 50 tahun, Mohd Nazri Abu Bakar dan Zulkifli Umar masing-masing 48 tahun. Manakala, dua lagi mangsa, Ahmad Zamri Ishak dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, masih belum ditemukan.

Usaha pencarian ditangguhkan pukul 7.00 malam ekoran cuaca gelap dan akan disambung esok.


(Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi)

"Ketiga-tiga mangsa ini kita temukan sekitar 1.7 sehingga 1.9 batu nautika daripada utara Pulau Redang dan mayat-mayat ini ditemukan oleh rakan-rakan nelayan kita yang turut serta dalam pencarian di sekitar Pulau Redang yang melibatkan 10 buah bot nelayan tempatan", katanya.

Ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Terengganu petang tadi untuk bedah siasat.

Dalam kejadian Isnin lalu, bot tempatan yang membawa enam nelayan termasuk tekong dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan dipercayai karam.

Bagaimanapun, salah seorang mangsa terselamat, selepas berenang menyelamatkan diri ke kapal layar berhampiran.

Media Baharu