fb fb fb fb fb

Tiga maut, dua cedera parah kemalangan di Lahad Datu

FOTO Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu

LAHAD DATU, 7 Oktober- Tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Felda Sahabat, Tungku, di sini pada semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.19 petang mengenai insiden yang melibatkan sebuah pacuan empat roda, kereta dan motosikal dengan 13 mangsa terlibat.

"Mangsa maut merupakan seorang kanak-kanak perempuan dan seorang wanita yang berada di dalam kereta serta seorang penunggang motosikal lelaki. Mangsa yang cedera parah pula ialah seorang lelaki dan wanita yang turut berada di dalam kereta berkenaan.

“Penunggang motosikal dan seorang individu di dalam kereta meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tungku untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sumsoa berkata lapan individu lain yang menaiki pacuan empat roda itu iaitu empat lelaki, seorang wanita dan tiga kanak-kanak hanya mengalami kecederaan ringan dan operasi ditamatkan pada 10.06 malam.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE