fb fb fb fb fb

Mohamad, Tengku Zafrul tiba di Vientiane hadiri Sidang Kemuncak ASEAN

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada pukul 7.45 malam waktu tempatan/ BERNAMA

VIENTIANE, 6 Oktober- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tiba di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.

Mohamad dan Zafrul tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada pukul 7.45 malam waktu tempatan.

Lebih 2,000 delegasi dijangka menghadiri sidang kemuncak berkenaan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC), di ibu negara Laos dari 8 hingga 11 Oktober.

Sidang berkenaan akan dihadiri ketua-ketua negara dan kerajaan dari negara anggota ASEAN, negara rakan dialog, serta negara rakan luar termasuk wakil dari organisasi serantau dan antarabangsa.

Mesyuarat Menteri Luar ASEAN akan memulakan sidang kemuncak pada 8 Oktober, manakala majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan diadakan pada 9 Oktober.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan kenyataan Malaysia pada sidang kemuncak berkenaan.

Manakala pada 11 Oktober, Laos secara rasmi akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia yang akan mempengerusikan sidang itu pada 2025.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI