fb fb fb fb fb

Banjir: 338 penduduk terjejas di Kedah, satu lagi PPS dibuka

Foto: FB APM Negeri Kedah

KUBANG PASU, 7 Oktober- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah meningkat kepada 388 orang daripada 100 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah setakat pukul 8 pagi ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 229 mangsa daripada 69 keluarga di dua PPS masing-masing satu di Kubang Pasu dan Pendang setakat 8 malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, sebuah lagi PPS dibuka di daerah Kubang Pasu pada jam 9.26 malam tadi iaitu di Dewan PPK Lubuk Batu yang menempatkan seramai 47 mangsa daripada 17 keluarga.
 
Manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan, SMK Changlun menempatkan 176 penduduk daripada 58 keluarga.

Sementara PPS di Dewan Kompleks Rakan Sukan di Tanah Merah Pendang pula menempatkan seramai 115 mangsa daripada 25 keluarga.

"Jumlah keseluruhan penduduk terjejas yang ditempatkan di tiga PPS itu terdiri daripada 113 lelaki dewasa, 114 wanita dewasa, 105 kanak-kanak, enam bayi dan 15 warga emas.

"PPS di daerah Pendang menempatkan penduduk dari lima kampung iaitu Kampung Sungai Mati, Kampung Banggol Besi, Kampung Belakang Pondok Tanah Merah, Kampung Belakang Pendang Dan n Kampung Seberang Pendang," katanya.

Dalam pada itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, empat sungai di dua daerah di Kedah masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya setakat jam 7.30 pagi hari ini.

Antara sungai terlibat adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di daerah Kubang Pasu dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman serta Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar.

ZEHRA BINTI ZAMBRI