KUALA LUMPUR, 17 Disember - Tiga langkah holistik diambil dalam usaha memulihkan segelintir projek yang bermasalah di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, ia termasuk pembentangan status pelaksanaan projek dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK).
"Pemantapan pelaporan dalam Sistem MyProjek di mana laporan kemajuan fizikal dan kewangan projek dipantau secara berkala bagi memastikan maklumat adalah tepat dan terkini.
"Hal ini membolehkan Kementerian membuat keputusan yang lebih tepat terhadap projek yang memerlukan perhatian khusus," kata ketika menjawab pertanyaan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, pada Rabu.
Pertanyaan tersebut berhubung mekanisme pemantauan pembangunan luar bandar serta langkah pemulihan untuk memastikan projek gagal dalam pelaksanaan dapat disiapkan segera
Dalam pada itu, kementerian turut melaksanakan lawatan pemantauan secara berfokus melalui sesi libat urus di lapangan bersama Agensi Pelaksana, Jabatan, Agensi Negeri serta Agensi Pusat bagi meneliti isu pelaksanaan projek dan memuktamadkan penyelesaian isu dengan segera.