ISTANA NEGARA, 17 Disember - Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Kabinet Baharu Kerajaan MADANI berlangsung hari ini di Istana Negara, disaksikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Majlis berkenaan melibatkan 15 pelantikan dan pertukaran portfolio, merangkumi tujuh jawatan menteri dan lapan jawatan timbalan menteri, susulan rombakan Kabinet 2025 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bagi memperkukuh kecekapan serta keberkesanan pentadbiran kerajaan.
Istiadat tersebut turut disaksikan Perdana Menteri bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Kesemua individu terlibat melafazkan sumpah jawatan dan sumpah taat setia sebelum menandatangani surat cara pelantikan di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Antara menteri yang mengangkat sumpah jawatan hari ini ialah Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Sri R. Ramanan Ramakrishnan sebagai Menteri Sumber Manusia serta Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi.
Turut mengangkat sumpah ialah Datuk Ts. Mustapha Mohd Yunus Sakmud sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Dr Zulkifli Hasan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Sementara itu, antara timbalan menteri yang turut mengangkat sumpah jawatan ialah Sim Tze Tzin sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah sebagai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Yuneswaran Ramaraj sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara serta Mordi Anak Bimol sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Turut mengangkat sumpah ialah Syed Ibrahim Syed Noh sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Lo Su Fui sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Rombakan Kabinet Kerajaan MADANI 2025 ini dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan kesinambungan dasar, memperkukuh tadbir urus serta mempercepat pelaksanaan agenda reformasi kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.