ALOR SETAR, 22 Oktober - Tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kulim, Kedah, 8 pagi tadi susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah itu akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.
Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah menerusi kenyataan memaklumkan, PPS yang dibuka ialah di Surau Taman Sang Kancil, PPS Dewan Surau Kampung Paya Tok Betok, Sungai Ular dan PPS Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Khai Min), Pekan Karangan.
Seramai 88 orang daripada 26 keluarga ditempatkan PPS Surau Taman Sang Kancil, manakala 16 orang daripada 3 keluarga berada di Dewan Kg Paya Tok Betok dan 102 orang daripada 37 keluarga berlindung di SJKC Khai Min.
Di daerah Kuala Muda pula, sebuah lagi PPS, iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan SJKC Chong Cheng Tanjung Dawai masih dibuka, menempatkan 52 penduduk terjejas daripada 24 keluarga.
Hujan lebat berterusan menyebabkan tiga mukim dilanda banjir iaitu Lunas, Sungai Ular dan Kulim.
Antara kampung yang terjejas, kampung Seberang Sungai, Kampung Paya Tok Betok, Kampung Seberang Jaya, Kampung Kemuting dan Kampung Banggol Penyengat.