KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Media arus perdana disaran memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu membendung penularan berita palsu dan maklumat tidak sahih yang semakin berleluasa di platform media sosial.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Emma Mirza Wati Mohamad berkata, kemahiran literasi maklumat perlu diperkukuh bagi membolehkan masyarakat menilai serta menggunakan maklumat dengan bijak.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kesedaran masyarakat kini semakin meningkat apabila mereka lebih peka terhadap keperluan menyemak kesahihan sesuatu maklumat daripada sumber yang sahih.
“Pada awalnya memang timbul sedikit kebimbangan sama ada industri media mampu bertahan atau tidak dengan kemunculan pelbagai sumber maklumat baharu. Namun, masyarakat kini semakin sedar bahawa maklumat yang sahih perlu datang daripada sumber yang sahih juga.
“Atas kesedaran literasi media yang semakin tinggi, masyarakat kini dididik untuk membuat semakan berganda (double check) dengan sumber yang dipercayai, termasuk RTM sebagai antara saluran maklumat sahih negara.
“Saya yakin, dan kajian juga menunjukkan, trend masyarakat akan kembali kepada media arus perdana sebagai sumber rujukan utama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa buat julung kalinya Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025 (MENTION 2025) akan diadakan dari 28 hingga 30 Oktober ini di Kuala Lumpur.
Bertemakan “Media dan Komunikasi untuk Perubahan: Memajukan Transformasi Sosial dan Kesejahteraan Masyarakat”, persidangan itu menumpukan kepada peranan komunikasi dalam mendorong perubahan sosial, khususnya dalam konteks kesihatan awam, tingkah laku kewangan serta pematuhan dasar awam.