IPOH, 24 Oktober - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak sudah diaktifkan sejak malam tadi, susulan situasi banjir yang memburuk di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menyatakan, serentak itu, semua agensi keselamatan negeri digerakkan ke lokasi-lokasi terjejas bagi mempercepat operasi pemindahan dan kerja menyelamat penduduk.
"Setakat ini, 74 aset dan kenderaan pelbagai agensi sudah digerakkan, terdiri daripada 16 bot penyelamat, 25 lori pelbagai saiz dan lapan ambulans," jelas beliau dalam satu kenyataan.
Turut digerakkan, 12 kenderaan pacuan empat roda, 13 khemah dan pelbagai peralatan keselamatan, antaranya jaket keselamatan dan lampu sorot mudah alih.
"Tambahan aset kenderaan dan sampan juga telah digerakkan ke semua lokasi berisiko bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera, tersusun dan menyeluruh," ujarnya lagi.
Mengenai bekalan keperluan asas, beliau berkata, penghantarannya akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mendapat bantuan mencukupi dan tepat pada masanya.
Selain itu, pejabat-pejabat daerah bersempadan antaranya Kerian, Kuala Kangsar, Kinta dan Hulu Perak diarah membantu menyediakan aset dan kelengkapan logistik termasuk di PPS.
Semua penduduk di kawasan terjejas banjir dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Pada masa sama, tidak melakukan aktiviti berhampiran sungai, tali air atau alur limpah, ketika hujan berterusan.
Situasi semasa banjir akan terus dipantau JPBN bersama-sama agensi berkaitan, antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).