KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Lebih 270 wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dari seluruh Asia Tenggara berhimpun di ibu negara bagi menjayakan forum “ASEAN Getting It Right: Peoples at the Core”, anjuran gabungan ASEANPeoples@ASEAN2025.
Program itu yang menekankan pembangunan inklusif, hak asasi manusia, keadilan sosial dan penglibatan masyarakat dalam tadbir urus serantau, sejajar dengan matlamat menjadikan rakyat sebagai teras komuniti ASEAN.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Bersama ASEANPeoples@ASEAN2025, Jerald Joseph, dengan Malaysia diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Pembangunan) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Punitha Silvarajoo.
Penganjurannya turut meraikan keanggotaan penuh Timor-Leste sebagai ahli ASEAN ke-11, di samping menjadi platform memperkukuh jaringan advokasi akar umbi dan memperkasakan suara komuniti dalam dasar pembangunan rantau ini.
ASEANPeoples@ASEAN2025 menegaskan bahawa keutamaan terhadap rakyat, hak asasi manusia dan tadbir urus yang baik merupakan asas pembentukan ASEAN yang inklusif, berdaya tahan dan makmur.
Antara tokoh yang hadir dalam forum itu ialah Joaquim da Costa Freitas, Penyelaras Kabinet Masyarakat Sivil Pejabat Perdana Menteri Timor-Leste dan Valentim da Costa Pinto, Pengarah Eksekutif Forum Organizasaun Naun Govermental Timor-Leste (FONGTIL).