fb fb fb fb fb

Kerajaan MADANI komited lindungi hak ibu tunggal, anak terabai nafkah

FOTO ARKIB / BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Oktober - Kerajaan MADANI komited melindungi hak ibu tunggal dan anak-anak yang dinafikan nafkah oleh bekas suami atau bapa yang culas menunaikan tanggungjawab.

Menerusi perkongsian di Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah tegas telah dilaksanakan apabila tindakan sekatan akaun bank terhadap individu berkenaan mula berkuat kuasa, hasil pindaan terhadap beberapa akta kewangan yang telah diwartakan.

"Melalui pindaan kepada Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 [Akta 758], Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759] dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 [Akta 618], perintah hiwalah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah kini boleh dilaksanakan oleh institusi perbankan berlesen.

"Perintah ini membolehkan simpanan penghutang penghakiman dipindahkan terus kepada pihak yang berhak, sekali gus memberi kelegaan kepada isteri dan anak-anak yang sebelum ini teraniaya," katanya menerusi kenyataan.

Sehingga September lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merekodkan 152 kes hiwalah didaftarkan dengan 26 kes berjaya diselesaikan melalui pembekuan akaun bank penghutang dengan jumlah keseluruhan simpanan yang telah dipindahkan kepada pemiutang penghakiman mencecah lebih RM79,000.

JKSM turut meneruskan tindakan tegas terhadap individu yang enggan melaksanakan tanggungjawab nafkah, termasuk hukuman penjara serta kempen kesedaran di seluruh negara.

Kerajaan menegaskan, dakwaan kononnya isu nafkah diabaikan adalah tidak benar, sebaliknya semua pihak diseru membantu menyalurkan maklumat tepat mengenai langkah yang telah dilaksanakan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM