PUTRAJAYA, 24 Oktober - Petani, penternak dan nelayan terjejas banjir diminta segera melaporkan kerosakan harta benda atau kehilangan pendapatan kepada pejabat pertanian atau agensi berkaitan yang terdekat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, kementeriannya akan meneliti laporan berkenaan dan menyalurkan bantuan sewajarnya.
Langkah tersebut bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
"Kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan sedang turun ke lapangan bagi menyalurkan bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa dijaga," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menzahirkan simpati yang amat mendalam kepada semua penduduk terjejas banjir di beberapa negeri yang kini sedang berdepan ujian berat.
"Kepada semua yang terjejas banjir, banyakkan bersabar dan kuatkan semangat. Ujian ini pasti ada hikmahnya," ujarnya lagi.
Datuk Seri Mohamad turut menghargai khidmat bakti semua pasukan penyelamat, anggota agensi kerajaan, sukarelawan dan rakyat yang membantu pendudk yerjejas banjir.
Setakat ini, beberapa daerah di dua negeri termasuk Perak dan Kedah, terjejas banjir. ###