LANGKAWI, 12 November -Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa kejadian bot karam di perairan sempadan Malaysia–Thailand menemukan tiga lagi mayat lelaki petang ini.
Ia menjadikan lima mayat ditemukan hari ini, sekali gus meningkatkan jumlah korban tragedi berkenaan kepada 25 orang setakat ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, satu mayat lelaki ditemukan terapung pada pukul 3.16 petang oleh bot Pasukan Polis Marin (PPM) berhampiran Pulau Rebak Besar.
Mayat berkenaan dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Cenang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pada pukul 3.20 petang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan penemuan satu lagi mayat lelaki dewasa di perairan Tanjung Hulor.
Mayat dibawa ke jeti Kubang Badak sebelum diserahkan kepada polis.
Beberapa minit kemudian, pesawat AW139 milik JBPM turut mengesan satu mayat lelaki dewasa terapung berhampiran Pulau Rebak Besar.
Bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi untuk mengambil mayat dan membawanya ke jeti Maritim Malaysia bagi proses serahan kepada polis.
Operasi hari ini melibatkan kekuatan pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia, PDRM, TLDM, JBPM, dan APM.