KUALA LUMPUR, 12 November - Sebanyak 79 daripada 1,022 kes rasuah yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Januari hingga September tahun ini, melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, angka itu menunjukkan isu integriti dalam pasukan tersebut masih memerlukan tindakan berterusan dan pengawasan dalaman yang lebih kukuh.
"Marilah kita terus memperkuatkan usaha dalam memperkukuhkan mekanisme pencegahan, pengawasan, pematuhan dan pembudayaan nilai integriti di setiap lapisan organisasi kita.
"Kita harus bersama-sama melindungi imej pasukan daripada pengaruh negatif yang mencemarkan nama baik PDRM", katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Bulan Integriti PDRM 2025 di Maktab PDRM Kuala Lumpur.
Tegasnya, integriti mesti menjadi teras utama dalam setiap tindakan dan keputusan pasukan sebagai agensi penguat kuasa utama negara.
Setakat ini, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), telah membuka 1,523 kertas siasatan tatatertib, termasuk 47 kes rasuah.
PDRM turut komited melaksanakan Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS-PDRM), sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional.
Pada majlis tersebut, seramai 41 pegawai dan anggota menerima Sijil Pengiktirafan Tolak Rasuah, manakala lapan pegawai dianugerahkan Anugerah Integriti kerana menolak sogokan antara RM200 hingga RM250,000.