fb fb fb fb fb

Cabaran pertahan integriti

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail / Foto JAKIM

PUTRAJAYA, 12 November - Penjawat awam perlu mempunyai tekad dan azam untuk menolak sebarang amalan yang bertentangan dengan undang-undang dan peraturan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail menegaskan, integriti perlu dipertahan dengan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT bagi menangkis cabaran yang lebih hebat di era serba digital.

"Kita perlu bertanggungjawab kepada Allah SWT, akauntabiliti Allah SWT, akauntabiliti kepada pemegang taruh, akauntabiliti kepada masyarakat dan juga pelanggan.

"Paling penting ialah kita wajib bertanggungjawab kepada diri sendiri untuk mengelak daripada melakukan perkara yang bertentangan undang-undang atau bertentangan tatakelola dan apa juga yang boleh menjerat hingga dikenakan tindakan undang-undang," katanya. 

1211 TKPO JAKIM PERTAHAN INTEGRITI 1Seminar Integriti sempena Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat JAKIM 2025 / Foto JAKIM

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Integriti sempena Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat JAKIM 2025 di sini, hari ini.

Antara program yang akan dianjurkan sempena sambutan itu ialah Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk ‘Integriti Cerminan Iman’ dan Khutbah pada Jumaat ini bertajuk ‘Wabak Jiwa Racun Ummah’.

Hampir 300 peserta hadir mengikuti seminar berkenaan yang turut menampilkan Datuk Ustaz Kazim Elias untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Integriti Tiang Seri Kepimpinan dan Amanah’.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK