KUALA LUMPUR, 12 November -Malaysia bakal menjadi antara negara terawal diberi keutamaan sekiranya Kerajaan Arab Saudi menambah kuota jemaah haji bagi musim akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, jaminan itu disampaikan sendiri oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah, dalam pertemuan rasmi baru-baru ini.
“Mereka akan menilai aspek keselamatan jemaah sebelum menambah kuota, khususnya faktor suhu panas yang boleh menjejaskan kesihatan.
Namun, sekiranya kuota tambahan diluluskan, Malaysia akan diberi keutamaan kerana pengurusan haji kita dianggap terbaik dan jemaah kita sangat berdisiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Kelas Bimbingan Fardu Ain untuk Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Datuk Dr. Mohd Na’im berkata, program tersebut menunjukkan komitmen berterusan YADIM dalam memperkasa pendidikan Islam inklusif serta memastikan golongan OKU pekak tidak terpinggir dalam hal ehwal agama.
Kelas yang bermula awal Oktober lalu menarik lebih 100 penyertaan hasil kerjasama antara YADIM, agensi agama dan persatuan OKU Islam.
Beliau menegaskan, inisiatif berkenaan seiring aspirasi Malaysia MADANI dalam memperluas akses pendidikan Islam kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kekangan upaya.