fb fb fb fb fb

Tiga kawasan rekreasi terjejas akibat kejadian kepala air di Yan masih ditutup

(Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Norhamidi Ali)

YAN, 17 Disember - Tiga kawasan rekreasi di Yan, Kedah yang terjejas akibat kejadian kepala air tahun lalu masih ditutup untuk sebarang aktiviti perkhemahan dan rekreasi berikutan berisiko tinggi berlaku bencana termasuk tanah runtuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Norhamidi Ali berkata pihaknya memantau ketat kawasan terbabit susulan amaran Monsun Timur Laut.

Tiga lokasi terbabit ialah air terjun Seri Perigi,Titi Hayun dan Batu Hampar.

Pemantauan turut melibatkan agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), polis, komuniti daerah Yan dan Jabatan Perhutanan.

Sistem amaran awal (EWS) telah ditempatkan di lokasi-lokasi terbabit .


(Foto fail)

"Sebabnya ditutup kami tidak galakkan kerana pernah berlaku tragedi kepala air di Titi Hayun yang mengorbankn sebanyak enam orang, kita tak nak lah perkara yang sama berlaku, kita sekarang ni tengah buat Empangan Sabo yang menyebabkan kita tutup kawasan itu memandangkan ketika ini cuaca tidak begitu elok kerana hujan selalu pada waktu petang," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas majlis berkhatan beramai-ramai, di sini, yang melibatkan 38 peserta yang terdiri daripada kanak- kanak berusia tujuh hingga 12 tahun serta seorang anggota bomba bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan.

Program percuma anjuran komunti daerah Yan itu turut melibatkan kerjsama Hospital Yan,RELA, Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM), Petronas ,Yayasan Sultanah Bahiyah, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sementara itu K. Saravanan, 25 tahun yang turut berkhatan pada program tersebut teruja sebaik ditawarkan untuk menyertai program terbabit.

Anak sulung itu yang baru tujuh bulan bertugas di BBP Yan berkata sudah menjadi kebiasaan melihat masyarakat tempatan berkhatan malah adiknya sendiri sudah berkhatan sejak kecil.

Katanya, perasaan berdebar dirasai pada mulanya tetapi setelah berkhatan, perasaan takut hilang dan berasa seronok apabila dapat bersama dengan kanak-kanak lain.

Media Baharu