fb fb fb fb fb

Tiga hari tempoh kelulusan dapatkan pekerja asing, atasi monopoli ejen

(Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha@ Mohd Yunus Sakmud)

ISKANDAR PUTERI, 10 Februari- Tempoh kelulusan mendapatkan pekerja asing yang dipendekkan kepada tiga hari dijangka dapat mengatasi isu monopoli ejen atau sindiket negara sumber mendapat keuntungan melampau.

Langkah diambil Kementerian Sumber Manusia itu bertepatan dalam mengurangkan birokrasi yang sebelum ini mengambil masa lama untuk kelulusan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha@ Mohd Yunus Sakmud berkata menerusi pelan kelonggaran pengambilan pekerja asing bermula Januari lalu, dijangka dapat menyelesaikan isu sindiket yang mengenakan bayaran terlalu tinggi.

Ia sekali gus dapat menampung keperluan segera terutama dalam industri kritikal.

"Ini sudah pun diarahkan oleh Perdana Menteri sebab banyak industri yang membuat aduan tidak cukup pekerja, jadi kita longgarkan dalam masa tiga bulan ini dan kita lihat apa kesannya kepada ekonomi negara sebab akhirnya kita kena pastikan apa yang kita buat ini akan meningkatkan kita punya GDP untuk negara ini ada dia punya polisi," katanya

Beliau menjelaskannya selepas lawatan kerja di kilang kanta lekap Ciba Vision Sendirian Berhad di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pasir Gudang.


(Mustapha ketika melakukan lawatan kerja di kilang kanta lekap Ciba Vision Sendirian Berhad
di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pasir Gudang)

Mustapha turut mengingatkan rakyat agar berhati-hati dalam menerima tawaran kerja di luar negara yang menawarkan gaji lumayan kerana khuatir menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Sebanyak 488 laporan diterima Kementerian Luar Negeri berkaitan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Mangsa sindiket yang diselamatkan setakat ini, ialah 227 di Kemboja, 61 di Laos, 38 di Thailand dan 33 di Myanmar.


Media Baharu