(Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan ringan selepas kebakaran di stor simpanan bunga api IPD Sentul/FOTO IPD Sentul)
KUALA LUMPUR, 26 April - Tiga individu cedera ringan semasa menjalankan kerja-kerja membersihkan tapak pelupusan mercun dan bunga api di sebuah Stor Penyimpanan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tiga mangsa yang berasal dari Sabah merupakan pekerja pembersihan yang diupah bagi membersihkan kawasan pelupusan rampasan mercun dan bunga api yang yang dibuat pihaknya pada jam 3 petang tadi.
"Ketika membersihkan kawasan, api dilaporkan tiba-tiba terpercik di dalam tong sampah RORO (Roll On Roll Off) yang digunakan untuk menempatkan sisa pelupusan sebelum berlaku beberapa siri letupan dipercayai mercun," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Eng Lai berkata, kesemua mangsa berusia 25 hingga 30 tahun itu telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur.
Katanya, setakat ini polis tidak mendapati sebarang unsur khianat serta tidak menolak faktor cuaca panas hari ini memungkinkan berlakunya percikan api sebelum meletup dan terbakar.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, prosedur operasi standard (SOP) pelupusan barang kes dilakukan mengikut perintah mahkamah iaitu melupus barang kes dengan cara gelek menggunakan jentolak dan siraman air sebelum ditanam.
"Kerja pelupusan ini telah menerima kelulusan dari Mahkamah Majistret 2 Kuala Lumpur yang membenarkan ia dilupuskan menggunakan SOP polis. Majistret juga turut hadir menyaksikan kerja pelupusan yang selesai pada 4.30 petang tadi," katanya.
(Seramai 60 anggota dan 10 jentera dikerahkan ke lokasi kejadian di Jalan Perhentian pada petang Selasa/FOTO Bomba KL)
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan kebakaran pada 6.20 petang tadi.
Seramai 60 anggota dan 10 jentera dikerahkan ke lokasi kejadian di Jalan Perhentian, di sini.
Katanya, kejadian itu membabitkan stor simpanan rampasan bahan bukti 30 peratus struktur bangunan yang melibatkan 30 peratus struktur bangunan terbakar dan 80 peratus kawasan terbuka yang membabitkan 50 buah kenderaan.
"Kebakaran dikawal oleh pasukan bomba pada jam 7.04 malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Petang tadi, polis melupuskan 1,059 kotak dan 35 guni mercun serta bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM4.1 juta yang dirampas dalam serbuan di dua premis pada 24 Mac lepas dipercayai untuk pasaran sempena perayaan Aidilfitri ini.