KUALA LUMPUR, 25 November - Malaysia menunjukkan komitmen jelas dalam memerangi keganasan berasaskan gender apabila Menara Kuala Lumpur disinari cahaya jingga, bersempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita (IDEVAW).
Acara dianjurkan bersama oleh Pejabat Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, serta Tabung Penduduk PBB (UNFPA), sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap keganasan digital yang mensasarkan wanita dan kanak-kanak perempuan.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, bersama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Datuk Seri Nancy berkata, pengurusan Menara Kuala Lumpur amat dihargai kerana konsisten menyokong usaha melindungi wanita daripada menjadi mangsa keganasan.
"Ini bukan kali pertama. Kali ini adalah kali kedua kita melaksanakannya dan kita dapat melihat kesungguhan pihak pengurusan Menara KL dalam memberi sokongan kepada wanita yang pernah berdepan, atau yang kita tidak mahu menjadi mangsa keganasan. Kami berharap ia boleh dijadikan acara tahunan," katanya.
Menurutnya lagi, Menara KL akan terus disinari warna jingga selama 16 hari bermula malam ini sebagai tanda solidariti terhadap kempen global tersebut.
"Menara KL akan disinari selama 16 hari bermula hari ini. Di sini kita dapat lihat solidariti dan komitmen yang ditunjukkan. Kami amat menghargainya," tambahnya.
Dengan tema tahun ini, 'Bersatu untuk Menamatkan Keganasan Digital terhadap Semua Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan', kempen menekankan kebimbangan terhadap keganasan berasaskan teknologi, termasuk pengintipan siber, penyalahgunaan 'deepfake', dan penyebaran imej intim tanpa kebenaran.
Acara peringatan itu turut menampilkan ucaptama oleh Teo Nie Ching dan Penyelaras Residen PBB, Robert Gass, diikuti sesi audio siar panel yang membincangkan usaha memperkukuh sistem perlindungan, meningkatkan literasi digital, serta memperluas mekanisme kebertanggungjawaban dalam menangani keganasan digital.