fb fb fb fb fb

SK Kabatang Baru Tulid bakal dilengkapi kemudahan pendidikan moden

Foto Bernama

KOTA KINABALU, 25 November - Sekolah Kebangsaan Kabatang Baru di Tulid, Pensiangan yang akan dibina semula, bakal dilengkapi kemudahan pendidikan moden.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata projek gantian penuh bernilai RM50 juta itu merangkumi blok akademik, blok pentadbiran, makmal sains, kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelbagai kemudahan lain.

"Pagi ini saya hadir ke SK Kabatang Baru di Tulid bagi meninjau sendiri keadaan terkini sekolah yang telah diluluskan pembinaan semula bangunan sekolah daif menerusi Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)," katanya menerusi catatan di Facebook.

Menurut Fadhlina menerusi Rolling Plan 5, RMK-12, sebanyak 150 projek telah diluluskan bagi tujuan pembangunan semula sekolah daif di Sabah bernilai RM4.78 bilion.

"Komitmen Kerajaan MADANI jelas iaitu untuk memastikan akses pendidikan terbaik bagi semua murid walau di mana sahaja mereka berada," katanya.

Selain itu, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata beliau turut menyertai program bersama komuniti di Menawo Ulu yang disifatkannya sebagai istimewa sekali kerana jentera akar umbi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional bersama-sama memberikan sokongan padu kepada calon PH bagi DUN Tulid, Rufinah Pengeran.

"Kami pusing sekeliling kampung menziarahi rumah ke rumah dan berkongsi pentas ceramah bersama. Penat langsung tidak terasa kerana semuanya dilakukan dengan penuh bersemangat, sepakat dan ceria," katanya.

Beliau berkata matlamat pada waktu ini hanya satu iaitu untuk memenangkan Rufinah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Sabtu ini.

"Berbaki hanya beberapa hari sebelum menjelangnya pilihan raya, semoga kesepakatan ini akan terus teguh, demi merealisasikan #HarapanUrangSabah," katanya.

Tulid, terletak kira-kira 190 kilometer dari sini, merupakan satu daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pensiangan selain Sook serta Nabawan.

Sebanyak 16,551 pemilih berdaftar di kawasan itu layak mengundi pada PRN kali ini.-BERNAMA

 

AZRUL FAIZAL JUSOH