KUALA KURAU, 6 Januari- Tiga buah bot bersama enam nelayan warga Myanmar ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sini kerana melanggar syarat sah lesen.
Penahanan itu dilakukan di kedudukan 10.15 hingga 10.63 batu nautika, barat Kuala Sepetang, Perak, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, kesemua bot dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan bot peronda Maritim Malaysia.
"Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga bot menemukan seramai enam kru nelayan warga Myanmar berusia antara 24 hingga 35 tahun.
"Kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Najhan, pemeriksaan ke atas bot mendapati kesemuanya memiliki lesen sah, namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya, selain tiada kebenaran menggunakan kru warga asing.
Kesemua nelayan, bot, dan peralatan menangkap ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.