fb fb fb fb fb

Tiga bilik darjah SK Abaka di Tawau musnah dijilat api

Keadaan bangunan kelas musnah sepenuhnya dalam kebakaran di SK Abaka, Tawau malam tadi/Foto Bomba

TAWAU, 23 Jun - Sebuah blok bangunan menempatkan tiga bilik darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Abaka di sini hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, memusnahkan bilik darjah tahun 4, 5 dan tahun 6.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, seramai 15 anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah blok bangunan jenis tidak kekal SK Abaka sudah musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi memadam dengan menggunakan dua pancutan daripada sumber air tangki bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Tambah beliau kebakaran dapat dikawal pada pukul 1.21 pagi.

"Hasil pemeriksaan lanjut, tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kejadian itu serta punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN