fb fb fb fb fb

Pandelela, Bonnie terima anugerah Ikon Belia Sukan Dayak 2024

Penerima-penerima anugerah bersama Perdana Menteri dan kempimpinan negeri Sarawak merakam foto kenangan pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching

KUCHING, 22 Jun- Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg, mengetuai senarai empat penerima Ikon Belia Sukan Dayak 2024.

Tiga lagi Olahragawan dan Olahragawati Dayak yang turut menerima anugerah sama ialah Daeloniel Mcdelon Bong atau Kilat Boy, Angeline Melissa Lawas dan Bonnie Bunyau.

Sementara itu ketika ditemui selepas majlis itu, Datuk Pandelela berkata, anugerah tersebut akan lebih memberi semangat untuk beliau memberi yang lebih baik khususnya dalam sukan terjun.

"Sebagai seorang anak Sarawak dan juga anak Bidayuh, saya berasa bangga dan berharap dapat memberi inspirasi kepada anak-anak sarawak untuk mengembangkan bakat mereka ke peringkat antarabangsa,"katanya.

Bagi Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel McDelon Bong anugerah tersebut menjadi pendorong kepada beliau dalam mengekalkan momentum dalam sukan tersebut di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Ini merupakan kali pertama saya mendapat anugerah Ikon Belia Dayak, perasaan saya sangat gembira dan saya nak ucap terima kasih kepada semua yang beri sokongan kepada saya,"kata Daeloniel.

Sementara Angeline Melissa Lawas yang menerima menerima Anugerah Ikon Sukan Belia Dayak bagi Olahragawati Para Dayak dalam sukan Boccia menzahirkan rasa syukur kerana terpilih sebagai penerima anugerah tersebut.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih negeri kerana memberi pelung kepada saya kerana mencuba dalam sukan ini dan terima kasih kepada jurulatih kebangsaan memberi peluang dan ilmu untuk melatih saya ke arah yang lebih baik lagi,"katanya.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam tadi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE