fb fb fb fb fb

Kementerian Perpaduan lantik UKM laksana kajian ukur tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia

FOTO FB Kementerian Perpaduan Negara

MIRI, 23 Jun- Keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini terus menjadi keutamaan Kementerian Perpaduan Negara yang diyakini membentuk identiti nasional dan nilai kebersamaan serta semangatkan cintakan negara.

Ke arah itu , Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata satu kajian sedang dijalankan bagi mengukur tahap perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau menambah bahawa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dilantik untuk melaksanakan kajian tersebut.

Jelasnya, indeks perpaduan yang direkodkan sebelum ini menunjukkan Wilayah Persekutuan Labuan mendahului dengan 0.9 diikuti Sarawak 0.6 dan negeri lain-lain di Malaysia.

"Kita baru lantik UKM untuk adakan satu lagi kajian indeks perpaduan dan kajian tu sedang berjalan sekarang. Tahun depan, 2025 kita akan adakan indeks baru,"katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Karnival Perpaduan Miri sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Bakam Point Miri.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Aaron menyatakan program Sambutan Minggu Perpaduan – SMP bertemakan Perpaduan Dalam Kepelbagaian dipenuhi dengan pelbagai aktiviti ekspresi kasih dan pemaparan perasaan persahabatan serta persaudaraan erat yang akan memperkukuhkan semangat kekeluargaan.

Beliau juga berkesempatan mengunjungi ruangan foto disediakan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Miri,JPNIN Miri #CakapBaikBaik dan ditemubual ringkas di ruangan DJ Corner Mirifm serta gerai-gerai jualan ahli-ahli Komuniti Rukun Tetangga Bahagian Miri .

Pelbagai aktiviti diadakan selama tiga hari karnival berlangsung iaitu sukan futsal, kebudayaan dan kesenian, Jualan Rahmah, Pameran Jabatan dan Agensi Kerajaan, Busana Perpaduan dan Pertandingan Suara Perpaduan.

Karnival Perpaduan di Miri merupakan salah siri jelajah SMP 2024 Peringkat Negeri Sarawak yang diteruskan ke negeri-negeri lain sehingga 30 Jun 2024 selepas kemuncak SMP 2024 Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru pada 23 hingga 26 Mei lalu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malahan SMP juga merupakan inisiatif Kementerian dalam meraikan kepelbagaian di negara ini berlandaskan kepada tiga prinsip asas dalam hubungan antara etnik iaitu faham,hormat dan terima dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Menteri Belia,Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat .

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE