SEREMBAN, 10 Oktober- Tiga beradik lelaki ditahan baru-baru ini dibebaskan dengan jaminan polis selepas disyaki mencederakan ibu kandungnya seperti dalam video yang tular di laman sosial beberapa hari lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya masih menunggu keputusan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum melakukan pendakwaan.
Ahmad Dzaffir berkata ketiga-tiga mereka direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.
"Tangkapan telah dilakukan terhadap tiga individu pada minggu lepas. Namun semalam telah dibebaskan dengan jamin polis. Kertas siasatan dirujuk ke pejabat pendakwa raya pada hari ini.
"Semua kenyataan telah diambil dan dirakam. Kita masih menunggu laporan perubatan daripada hospital sementara itu ketiga-tiga individu itu direman empat hari dan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam," katanya dalam Program Town Hall Discussion Revolusi Industri Pelancongan Secure and Safety dan Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan, di sini.
Sebelum ini tular video 'Derhaka Ibu' yang dimuat naik seorang pemilik akaun laman sosial Facebook berkenaan seorang lelaki melakukan kekerasan terhadap ibunya.
(Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff)