SEREMBAN, 10 Oktober- Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi tumpuan kepada projek pelebaran dan naik taraf jalan Seremban-Gemas sebagai keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), pada tahun depan.
Menteri Besar Negeri Sembilan yang merangkap ADUN Sikamat Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia merupakan keperluan segera bagi mengelak kesesakan lalu lintas serta faktor jalan berkenaan yang merupakan logistik bagi kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Kem Syed Sirajuddin di Gemas.
"Pelebaran jalan Gemas-Tampin penting kerana ia melibatkan keluar masuk ATM. Kita sedia maklum ada kem ATM di Gemas dan banyak kemudahan-kemudahan ketenteraan ada di sana. Ia juga untuk memudahkan pergerakan pihak tentera untuk keluar masuk ke kawasan ini.
"Jalan yang dinyatakan adalah Jalan Persekutuan FT001, Jalan Gemas–Tampin. JKR negeri sedang dalam tindakan mengenal pasti lokasi penambahbaikan dan menyediakan anggaran kos untuk permohonan peruntukan jalan tersebut pada tahun 2024," katanya ketika menjawab soalan lisan daripada ADUN Gemas Ridzuan Ahmad pada Persidangan Kedua, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 hari kedua di sini.
Dalam pada itu, ADUN Rantau yang juga merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyokong usaha itu dan menyeru kerajaan negeri supaya membuat laporan ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk disokong oleh pihaknya.
Projek terbabit dijangka akan memudahkan urusan keluar masuk kenderaan serta aset ketenteraan terutamanya pada waktu kecemasan.