KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Seramai 1,912 calon simpanan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi diluluskan pelantikan tetap untuk mengisi baki kekosongan jawatan tetap.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, kelulusan itu melibatkan 1,226 calon simpanan pegawai perubatan, 216 calon simpanan pegawai pergigian dan 470 calon simpanan pegawai farmasi.
Pelantikan adalah selaras dengan baki kekosongan sedia ada dan kelulusan perjawatan tetap agensi pusat pada tahun 2023.
"Urusan tawaran pelantikan tetap dan penerimaan tawaran oleh calon simpanan sedang dilaksanakan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (MySTP SPA) dalam tempoh 21 hari bermula pada 2 Oktober 2023.
"Bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan, semua calon diberi ruang untuk memilih sendiri penempatan secara dalam talian menerusi sistem e-placement iaitu sistem e-housemen untuk pegawai perubatan, sistem e-dentist untuk pegawai pergigian dan sistem e-pharmacist untuk pegawai farmasi," menurut kenyataan itu.
Pegawai termasuk pasangan yang berkhidmat dalam salah satu perkhidmatan, boleh merancang dan memilih penempatan di luar Lembah Klang termasuk memilih penempatan di kawasan luar bandar dan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
"Seperti yang dijelaskan dalam sistem e-placement, pemilihan penempatan ini adalah diwajibkan bagi tujuan pengesahan melapor diri bertugas. Calon dikehendaki mengakses sistem e-placement dan membuat pilihan penempatan pada tempoh yang ditetapkan. Tawaran pelantikan tetap akan terbatal sekiranya tiada pemilihan penempatan dibuat dalam sistem e-placement,"
(Tarikh pilihan penempatan perlu diberi perhatian semua calon seperti jadual di atas)
Kepada calon simpanan yang sedang mengikuti pengajian kepakaran, berjauhan dengan pasangan atau mengalami masalah kesihatan yang serius, KKM turut menyediakan saluran untuk rayuan menerusi google form.
Calon akan menerima pemakluman penempatan di peringkat fasilliti daripada JKN mulai 14 November 2023.