fb fb fb fb fb

Tidak wujud kartel dan monopoli dalam pembekalan baja - NAFAS

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 23 September - Tidak wujud istilah kartel atau monopoli baja dalam pembekalan baja yang diuruskan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Sebaliknya tegas Pengerusi Jemaah Pengarahnya Datuk Zamri Yaakob pembekalan baja adalah melalui rantaian Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang membuat pesanan pembekalan dan seterusnya baja yang dibekalkan oleh NAFAS akan dihantar kepada pesawah yang berdaftar sebagai ahli Peladang.

Zamri menegaskan NAFAS yang telah beroperasi selama 52 tahun tidak beroperasi atas kepentingan individu atau pihak tertentu sebaliknya memastikan keuntungan diagihkan semula kepada 280 PPK dan 14 PPN untuk manfaat komuniti peladang.

“NAFAS memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan para pesawah dan peladang terpelihara, di samping menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama beliau menjelaskan NAFAS menerusi Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) telah meningkatkan simpanan stok baja padi sebanyak 30,000 tan metrik dan menambah baik proses penghantaran baja mengikut jadual pembekalan yang ditetapkan.

Zamri berkata NAFAS juga aktif menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperbaiki kualiti baja serta bekerjasama dengan Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi meningkatkan hasil tanaman padi berkualiti.

Tambahnya, NAFAS sentiasa memastikan pesawah mendapat akses kepada pengetahuan terkini dalam bidang pertanian melalui program seperti pemindahan teknologi (TOT) yang dilaksanakan bagi membekalkan pesawah dengan ilmu pembajaan, kesihatan tanaman serta amalan pertanian yang lebih berkesan.

Inisiatif itu katanya adalah sebahagian daripada komitmen berterusan NAFAS dalam menyokong kemajuan sektor pertanian negara. - BERNAMA

Trainee