fb fb fb fb fb

Tidak pamer harga, KPDNHEP tidak berkompromi dengan peniaga bazar Ramadan mulai esok

KUALA LUMPUR, 5 April- Penguatkuasa tidak akan berkompromi terhadap peniaga bazar Ramadan yang tidak mempamerkan senarai harga termasuk mengaut keuntungan secara berlebihan bermula esok.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata setakat ini, tiada laporan dan aduan diterima pengguna mahupun kompaun dikenakan kepada peniaga.

"Mulai esok, kita tak akan berkompromi. Tadi, saya secara peribadi ada menasihati mana-mana peniaga yang tidak meletakkan tanda harga. Kedai nampak tak elok, makanan tak bersih ke, saya tegur dululah."

"Tapi esok, anggota penguatkuasa KPDNHEP akan memantau secara berterusan. Semua bazar Ramadan di Kuala Lumpur dipantau secara berterusan termasuk pasar pagi," kata Ariffin kepada media selepas mengadakan tinjauan dan pemeriksaan menerusi 'Ops Pantau Bazar Ramadan' di Jalan Raja Alang, Kampung Baru.


(Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin turun padang memantau jualan
peniaga di bazar Ramadan di Kampung Baru/KPDNHEPKL)

Pihaknya akan memastikan kesemua peniaga bazar meletakkan tanda harga bagi mengelakkan sebarang pertikaian antara penjual dan pembeli.

Seramai 98 pegawai penguatkuasa KPDNHEP ditugaskan di seluruh bazar Ramadan di ibu negara dengan bantuan 89 Pegawai Pemantau Harga (PPH) di tugaskan setiap hari.

Media Baharu