fb fb fb fb fb

Struktur kos pengambilan PDI akan dikaji setiap tiga bulan - Saravanan

KUALA LUMPUR, 5 April - Struktur kos pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) akan dikaji setiap tiga bulan oleh Kumpulan Kerja Bersama (JWG) Malaysia-Indonesia.

Ia bagi memastikan seiring keperluan semasa, mengambil kira perubahan kos pengangkutan dan ujian kesihatan.

Kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan, menerusi Memorandum Persefahaman berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI) yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia, struktur kos pengambilan PDI yang dipersetujui merangkumi 15 komponen.

(Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan)

"Antara komponen kos di Malaysia termasuklah Deposit Keselamatan Imigresen, insurans, pemeriksaan kesihatan, levi, dan permit kerja.

“Manakala, contoh komponen kos di Indonesia pula melibatkan pasport, visa kerja, sijil kesihatan, sijil kompetensi, dan ujian psikologi", katanya. 

Semua kos pengambilan PDI adalah di bawah tanggungan majikan selaras dengan garis panduan Fair Recruitment Initiative yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Saravanan berkata MoU PDI yang ditandatangani pada 1 April di Jakarta, merupakan penambahbaikan daripada MoU terdahulu.

Beliau berkata menerusi MoU tersebut majikan dijangka dapat menjimatkan kos pengambilan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 memandangkan tiada lagi keperluan kuarantin bagi PDI kecuali bagi mereka yang positif semasa ujian saringan COVID-19 dilakukan di negara ini.

Media Baharu