fb fb fb fb fb

Peniaga dinasihat jangan sewenang-wenang naikkan harga barang - KPDNHEP

PUTRAJAYA, 5 April- Tiada keperluan untuk peniaga menaikkan harga barangan terutama melibatkan juadah berbuka puasa dan juadah Aidilfitri.

Ia ditegaskan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berikutan kerajaan telah mengawal kebanyakan harga barang-barang mentah melalui skim harga maksimum Keluarga Malaysia hingga 5 Jun depan.

Justeru, beliau berharap agar para peniaga memberikan kerjasama serta mematuhi segala perundangan yang ditetapkan kerajaan untuk mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh penguatkuasa KPDNHEP.

"Saya ingin memberi peringatan kepada semua kami di KPDNHEP akan memantau bukan sekadar di bazar Ramadan di Putrajaya ini sahaja malah di tempat lain juga di seluruh negara. Memang ada keperluan untuk kami memantau supaya kita pastikan harga yang lebih munasabah yang barang dijual di bazar Ramadan," kata Alexander kepada RTM selepas melakukan sesi walkabout di Bazar Ramadan Putrajaya sempena OPS Pantau 2022.


(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sempat beramah mesra
dengan pengunjung semasa lawatannya hari ini ke bazar Ramadan di Putrajaya/FBMENTERI)

Tambahnya, lebih 3,000 penguatkuasa KPDNHEP beruniform dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) telah digerakkan dan akan memantau di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna.

Sejak dilaksanakan 3 April lalu, sebanyak 7,106 premis telah diperiksa di seluruh negara menerusi OPS Pantau.

Daripada jumlah itu, 17 kes telah dihasilkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM4,200.

Media Baharu