KUALA LUMPUR, 23 Januari- Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis kerana tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang hari ini.
Na’imah, 66, isteri bekas Menteri Kewangan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November tahun sama iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di sini.
Na’imah didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide manakala Na’imah diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, M.Puravalen dan Alex Tan.
Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM pada 10 Januari lepas untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.