fb fb fb fb fb

PDRM tidak boleh tolak ansur pihak gugat keharmonian - PM

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang mampu mengganggu-gugat keharmonian negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas harus diambil oleh PDRM mengikut jalur hukum sedia ada.

"Saya beri laluan penuh...Tan Sri Razarudin Husain (Ketua Polis Negara) tahu sikap saya (yang) tidak campur dalam urusan siasatan.

"Tetapi saya sentiasa menggesa, jangan tolak ansur, selamatkan negara dan biar bertindak tegas untuk menentukan, supaya jangan berlaku gerombolan-gerombolan luar daripada jalur hukum," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar terus memerangi jenayah rasuah dengan bersungguh-sungguh.

"Masalah rasuah itu masih harus diperangi secara bersungguh-sungguh. Saya merayu kepada rakan-rakan, selain daripada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pasukan PDRM harus terus mendepani masalah ini dengan tegas dan berani untuk menyelamatkan bangsa dan negara kita," katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

SITI AISHAH MD ISA