KUALA LUMPUR, 9 Mac- Tuntutan pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu terhadap Malaysia dianggap tindakan luar batasan, keterlaluan dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, kerajaan tidak akan berkompromi dengan tuntutan berkenaan sebalik komited mempertahan keselamatan dan kedaulatan negara.
"Kementerian Luar juga telah mengutus nota diplomatik kepada semua 168 Negara Konvensyen New York 1958 pada 16 Jun 2022 dan 15 Julai 2022 bagi mengutarakan bantahan Malaysia terhadap isu tuntutan ini.
"Selain itu, Kementerian Luar juga telah mengutus nota diplomatik tambahan kepada negara-negara di mana proses perundangan sedang berlangsung seperti Sepanyol, Perancis dan Belanda untuk menegaskan pendirian negara di samping menerangkan perkara yang sebenar untuk mematahkan hujahan pihak penuntut," katanya.
(Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir)
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.
Isu tuntutan berkenaan kini ditangani oleh sekretariat khas yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersama Penguam Cara Negara II sebagai timbalannya.