KUALA LUMPUR, 9 Mac- Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok.
Perkara itu disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Presiden parti BERSATU itu berdepan beberapa pertuduhan bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Izin mendakwa diterima daripada Pejabat Peguam Negara.
Tan Sri Muhyiddin ditahan SPRM pukul 1.00 tengah hari tadi selepas hadir memberi keterangan lebih dua jam di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Ia bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pukul 11.15 pagi tadi.
Pengerusi Perikatan Nasional itu diiringi sebuah lagi kenderaan dipercayai membawa barisan peguamnya diketuai Datuk K. Kumaraendran.
(Foto Hiasan)