fb fb fb fb fb

Belanjawan 2023 peringkat dasar lulus, undian suara majoriti

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) pada peringkat dasar.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dengan undian suara majoriti selepas bacaan kali kedua.

"Ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah bahawa usul di atas nama Yang Berhormat Menteri Kewangan di dalam aturan urusan mesyuarat ini diedarkan kepada jawatankuasa sebuah majlis.

"Ahli yang bersetuju kata bersetuju, yang tidak kata tidak, lebih suara bersetuju, terima kasih.

Rang undang-undang berkenaan dibahas 167 Ahli Parlimen selama enam hari selepas dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 24 Februari lalu.

Miskin tegar, kerajaan pastikan usaha dapat dijayakan tahun ini


Terdahulu, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan dalam apa cara sekalipun akan memastikan usaha menoktahkan miskin tegar dapat dijayakan tahun ini.

"Yang perlu ialah tekad kita, sebab itu banyak inisiatif bukan sahaja Inisiatif Rahmah, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dijalankan secara meluas.

"Selain dari kerajaan dan kementerian, saya telah minta semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan program ini berjalan dan disusuli dengan langkah-langkah berikut supaya mereka yang terlepas bukan saja tahun ini tapi tahun-tahun berikutnya Insya-Allah," katanya.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Perdana Menteri turut menempelak pembangkang yang memperlekehkan usaha kerajaan itu.

"Saya ingatkan tentang riwayat oleh Yahaya bin Said yang juga seorang Gabenor di zaman Omar Abdul Aziz. Saya pernah diutus oleh Omar Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika, saya niat untuk memberikannya kepada golongan fakir, namun tiada saya jumpa siapa pun kerana mereka terlepas kategori golongan fakir.

"Jadi bagaimana Yang Berhormat dari parti yang membicarakan soal Islam ini tidak mungkin.

"Jadi kita akan gunakan jentera kita sebaik mungkin. Percayalah saya akan pastikan seluruh jentera kerajaan tanpa tolak ansur untuk mempastikan kita noktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga", tambah beliau.

Peruntukan khusus kepada komuniti PKS Sabah, Sarawak

Perdana Menteri turut memaklumkan, peruntukan khusus dalam bentuk dana tambahan pinjaman mikro berjumlah RM100 juta disalurkan kepada komuniti PKS Sabah dan Sarawak.

Turut diumumkan, kemudahan jaminan PKS dari bank sebanyak RM500 juta.

Pencarum guna wang KWSP sebagai cagaran pinjaman bank

Sementara itu, mengenai isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman sebagai cagaran.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata kaedah itu hanya bagi mereka yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang.

"Maka saya akan pastikan supaya KWSP memberikan ruang bagi pencarum yang punyai wang dan keadaan yang terdesak pinjam dari bank dengan jaminan cagaran daripada wang KWSP, ini yang terbaik," menurutnya.

Media Baharu