(Pengerusi baharu MyCreative Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik)
KUALA LUMPUR, 10 Mac- Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) mengumumkan pelantikan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi baharu, berkuat kuasa hari ini.
Mempunyai lebih daripada 34 tahun pengalaman pengurusan kanan dan perancangan strategik, Datuk Bakhtiar menggantikan Noor Azmi Mat Said, yang baru menamatkan penggalnya selepas berkhidmat di MyCreative sejak dua tahun lalu.
Menerusi satu kenyataan, beliau amat berbesar hati kerana telah diamanahkan untuk memegang peranan tersebut ketika industri kreatif sedang melalui detik yang cukup penting.
“Dengan kemunculan idea-idea inovatif daripada artis tempatan pada era pasca-pandemik, ini adalah masa paling tepat untuk menjadi sebahagian daripada sektor yang dinamik ini. Saya sangat teruja untuk bekerja bersama-sama dengan pasukan berbakat di MyCreative dan entiti-entitinya untuk menyokong serta meningkatkan idea-idea berwawasan ini dengan strategik.
“Saya komited untuk bekerja keras dengan pasukan MyCreative bagi mencapai matlamat ini dan membantu memastikan kejayaan serta pertumbuhan industri kreatif yang berterusan,” kata Datuk Bakhtiar.
Berasal dari Pulau Pinang dan seorang alumni Penang Free School, Datuk Bakhtiar memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Arizona, Tucson, Arizona, Amerika Syarikat.
Beliau memulakan kerjaya korporatnya pada tahun 1989 di Malaysia Smelting Corporation sebagai Pegawai Kakitangan dan terus mendaki tangga korporat dengan menerajui pelbagai inisiatif inovatif di organisasi yang berbeza, sehingga jawatan terakhirnya di Linear Technology Corporation sebagai Ketua Jabatan Sumber Manusia pada tahun 2013.
Datuk Bakhtiar turut memegang beberapa jawatan dalam sektor awam. Pada usia 57 tahun, beliau merupakan Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Balik Pulau di Dewan Rakyat selama 2 penggal. Pada tahun 2018, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Sebelum itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis untuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang dari tahun 2013 hingga 2018, di mana beliau memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan bandar raya itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Junaidy Nawawi berkata, pihaknya teruja untuk bekerja bersama Datuk Bakhtiar yang berpengalaman luas menerajui pembangunan dan perancangan strategik serta diakui mempunyai minat yang tinggi terhadap seni, budaya dan warisan.
“Ini semua dapat membantu dalam usaha membawa usahawan dan penggiat seni tempatan ke peringkat global. Adalah menjadi matlamat kolektif kami untuk memastikan MyCreative memberi impak positif kepada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem kreatif, termasuk artis, usahawan, pelabur, dan masyarakat.
“Kami yakin kepimpinan luar biasa Datuk Bakhtiar dan komitmen beliau terhadap kecemerlangan akan membantu kami mencapai matlamat dan memacu pertumbuhan serta kejayaan industri kreatif di Malaysia,”kata Junaidy.
Tambahnya, Lembaga Pengarah dan Pengurusan MyCreative turut ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Noor Azmi atas sumbangan beliau kepada pembangunan industri kreatif sebagai Pengerusi sebelum ini.
(Pengerusi baharu MyCreative Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik)