PUTRAJAYA, 7 September - Memperluas skop pensijilan halal kepada aspek pentadbiran negara adalah perkara tidak berbangkit berikutan bidang itu telah ditangani melalui mekanisme berautoriti sedia ada.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap pandangan isu pensijilan halal wajar diperluas tidak hanya kepada makanan, tetapi juga merangkumi aspek pentadbiran negara.
Tegasnya, ia penting untuk membezakan antara konsep halal dalam Islam yang sememangnya bersifat menyeluruh serta meliputi keadilan sosial, integriti dan tadbir urus yang baik dengan proses pensijilan halal.
"Tanggungjawab membanteras rasuah, memperkukuh integriti dan memastikan keadilan terlaksana merupakan mandat semua jabatan dan kementerian, selain agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia, dan institusi kehakiman", ujarnya.
Sementara itu, proses pensijilan halal merupakan mekanisme rasmi negara bagi menjamin keyakinan pengguna Islam serta mengawal selia industri halal agar sentiasa mematuhi standard, piawaian dan tuntutan syariah yang merentasi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, logistik dan sembelihan halal.
"Tanpa pensijilan halal yang sah, masyarakat Islam berisiko berhadapan kekeliruan, manipulasi pasaran dan eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab".
"Islam melalui al-Quran dan sunnah secara tegas mengharamkan rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah", katanya.
Justeru, JAKIM secara berterusan akan menyampaikan mesej moral dan syariah ini melalui khutbah Jumaat, program pembangunan ummah, kempen kesedaran dan pelbagai saluran juga medium dakwah sarna ada melalui media baharu mahupun konvensional.
JAKIM juga akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan semua pihak bagi mengekalkan pensijilan halal Malaysia sebagai penanda aras antarabangsa, memperkasa pendidikan Islam, pembangunan urnmah, dakwah serta institusi keluarga.