GEORGE TOWN, 7 September - Berjalan dan berlari sejauh 68 kilometer menjadi manifestasi cinta kepada negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 buat Ahmed Faizal Mohd Lazim.
Pengerusi Stay Fit Sunnah Sports Club (SFSSC) itu memulakan perjalanan dari Batu Maung pada malam semalam, menempuh hujan serta pelbagai cabaran sebelum tiba di Padang Kota Lama pagi tadi sekitar pukul 8.15.
Menurutnya, meskipun berdepan kecederaan tendon Achilles sejak awal, beliau tetap meneruskan misi berkenaan sebagai simbol semangat juang seorang anak Malaysia.
“Rintangan paling teruk sepanjang 68 kilometer ini adalah kecederaan tendon Achilles yang saya alami sejak mula. Tapi saya berpegang pada semangat tidak mengalah, walau sakit, saya tetap teruskan juga kerana kali ini cabaran sangat besar buat saya,” katanya.
Ketibaannya di Padang Kota Lama disambut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, sekali gus menamatkan larian solo yang penuh inspirasi itu.
Ahmed Faizal yang kini berusia 50 tahun juga pernah mencatat sejarah apabila menganjurkan kayuhan basikal spin selama lima hari empat malam atau 100 jam, sekali gus diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR).