Petaling Jaya, 6 Julai - Tiada sebarang tangkapan terhadap dua pegawai polis atau rampasan sejumlah wang tunai dalam serbuan di sebuah pusat hiburan, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.
Menurutnya, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah melakukan satu serbuan di pusat hiburan di sini pukul 12.15 tengah malam tadi.
"Ketika serbuan, dua pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Bukit Aman turut berada di dalam premis itu bersama dengan pengunjung lain.
"Namun, kami mengesahkan tiada sebarang tangkapan atau rampasan dalam bentuk wang tunai yang dibuat terhadap kedua-dua pegawai berkenaan seperti didakwa sesetengah pihak," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Arjunaidi berkata, kes itu akan dirujuk kepada JIPS bagi kesalahan dari sudut tatatertib.
"Ingin ditegaskan pihak polis tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar peraturan atau mencemarkan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
(Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed/FOTO FB PDRM)
Katanya, tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan yang ditetapkan.
Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa bahawa dua anggota tersebut ditangkap dan menemui sejumlah wang tunai berjumlah RM46,750 dalam beg galas milik salah seorang anggota ketika serbuan di sebuah pusat hiburan di sini malam tadi.